Tenaga bioplasma pendinding virus

A
A
A

ADA cerita positif di sebalik serangan wabak koronavirus (Covid-19). Apa yang berlaku sekarang ialah sekurang-kurangnya tiga negara iaitu China, Rusia dan Jepun sedang berhempas pulas mencipta penawar mengubati virus Covid-19.

China telah meluluskan percubaan klinikal terhadap vaksin pertama dibangunkan sekumpulan tentera saintis daripada China’s Academy of Military Medical Sciences berpangkalan di Wuhan Institute of Virology diketuai Mejar Jeneral, Chen Wei bagi memerangi koronavirus baharu.

Di Rusia, saintis Ilnaz Imatdinov daripada Vector Institute Siberia Rusia, yang berjaya mencipta antivirus Ebola, telah memulakan pengujian vaksin pertama Covid-19 yang dijangka siap Jun tahun ini.

Syarikat Jepun, Takeda Pharmaceutical berpangkalan di Zurich, Switzerland diketuai Julie Kim pula sedang membangunkan sistem proses terapi diperoleh daripada teknologi plasma terhadap Covid-19 yang kini sedang berkembang dan berpotensi untuk menjadi antara rawatan pertama diluluskan sebagai patogen pembunuh virus berkenaan.

Proses pembuatan terapi ini dikatakan menggunakan antibodi daripada pesakit yang telah pulih daripada serangan virus tersebut.

Laporan itu menyebut penyebaran virus boleh berlaku melalui semburan titisan batuk dan bersin pesakit Covid-19 kepada orang lain yang berada sehingga jarak sejauh 1.8 meter (6 kaki) dengan kelajuan sehingga 80 kilometer sejam.

Batuk dan bersin sebenarnya terjadi daripada tenaga keupayaan dalaman paru-paru pesakit yang kemudian bertukar menjadi tenaga kinetik dalaman koronavirus yang terkandung dalam lendir, kahak, kerengsaan dan cecair pembawa jangkitan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengikut ilmu fizik, Hukum Keabadian Tenaga atau Conservation of Energy Law menyatakan jumlah tenaga di dalam sesuatu sistem akan tetap constant dan diabadikan daripada masa ke masa.

Ini bermaksud sesuatu tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan. Sebaliknya, tenaga hanya boleh dirombak atau diubah bentuk kepada bentuk lain jika ada tenaga daripada luar mengubah bentuk tenaga tersebut.

Tenaga inilah yang disebut sebagai tenaga terbentuk daripada sel-sel berunsur tanah terkandung di dalam badan manusia berjumlah melebihi 50 trilion yang sentiasa bergetar selagi seseorang itu bernyawa.

Tenaga dalaman manusia ini sekiranya ia bertembung dengan penyatuan tenaga getaran al-Quran akan menghasilkan suatu tenaga pendinding yang amat kuat.

Penyelidik daripada Universiti Drexel di Philadelphia, Amerika Syarikat diketuai Dr William Eidson dan Dr Zheng Rongliang daripada Universiti Lanzhou, China berserta kumpulan saintis dari Bioinformation Institute of AS Popov, Rusia menyatakan kebenaran hasil kajian mereka tentang perkara ini.

Mereka mendapati dengan kukuh bahawa organisma hidup mengeluarkan getaran tenaga dengan nilai frekuensi antara 300 dan 2,000 nanometer yang mereka panggil ‘medan tenaga bio’ atau ‘bioplasma’ sebagai pendinding penyakit.

Perkara ini telah disebut ALLAH dalam surah Al-Israa' [17.82] bermaksud, “Dan Kami turunkan dari al-Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”

Penulis merumuskan bahawa pasti ada cara untuk mengubah tenaga dalaman yang terkandung dalam koronavirus sekali gus menjadi bentuk tenaga yang tidak mampu untuk merebak dan menyerang sel-sel di dalam badan manusia.

Apa yang perlu kita lakukan ialah merujuk kepada al-Quran bagi memahami apa yang sedang berlaku. Setidak-tidaknya itulah yang dilakukan saintis Islam pada zaman dahulu sehingga menjadi sumber inspirasi kepada pengkaji di dunia Barat.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor