Lima warga Afrika terlibat sindiket Love Scam ditahan

Sindiket itu menyasarkan warga tempatan dan luar negara melalui Facebook. Foto kecil: Abdul Malik
Sindiket itu menyasarkan warga tempatan dan luar negara melalui Facebook. Foto kecil: Abdul Malik
A
A
A

NILAI - Polis menahan lima warga Afrika dipercayai terlibat sindiket Love Scam membabitkan kerugian hampir RM1 juta dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30-an hingga 40-an ditahan pada 1.50 tengah hari.

"Semasa serbuan, seorang suspek cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga dan mengalami patah tulang rusuk,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Abdul Malik berkata, sindiket itu menyasarkan warga tempatan dan luar negara melalui Facebook dengan menggunakan pelbagai profil akaun sejak 2023.

Pada serbuan itu, polis merampas peralatan digunakan suspek termasuk empat komputer riba, 15 telefon bimbit, 11 kad debit pelbagai bank serta masing-masing dua tablet, modem wi-fi dan pemacu USB.

Suspek direman sehingga 1 September bagi siasatan mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!