Pelajar Tingkatan Empat didakwa rogol rakan dalam kelas

Tertuduh berbaju hitam ketika hadir ke mahkamah
Tertuduh berbaju hitam ketika hadir ke mahkamah
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pelajar Tingkatan Empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol rakan perempuan berusia 14 tahun di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, Mei lalu.

Tertuduh lelaki yang berusia 16 tahun itu membuat pengakuan terbabit di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun prosiding terbabit dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan rogol ke atas seorang mangsa perempuan berusia 14 tahun kira-kira jam 7.20 pagi di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, di sini, pada 2 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh juga dihukum sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam akan dijamin bapanya yang juga seorang pesara tentera dan memohon wang jaminan yang rendah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes pada 5 November depan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!