Tular orang beratur di Nasi Kandar Line Clear gambar lama

Gambar yang tular menunjukkan orang ramai sedang berbaris mengambil makanan.
Gambar yang tular menunjukkan orang ramai sedang berbaris mengambil makanan.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengurusan Restoran Nasi Kandar Line Clear di sini, menafikan restoran mereka diserbu orang ramai seperti dalam gambar yang tular di laman sosial.

Pengurusnya, Abdul Latiff Thulkarunai berkata, gambar orang ramai yang berbaris sehingga ke bahagian luar kedai itu adalah gambar lama dan bukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak Rabu lalu.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini jauh berbeza seperti gambar berkenaan apabila mereka kehilangan hampir 80 peratus pelanggan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Itu gambar lama dan saya pun tidak pasti kenapa ia menjadi tular pada ketika ini. Memang kami masih menjalankan lagi perniagaan namun hanya menyediakan makanan bungkus sahaja kepada pelanggan.

"Bagi memudahkan pelanggan setia dan peminat nasi kandar di negeri ini, kami menyediakan pakej makanan termasuk air minuman bungkus dengan harga RM6 sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Keadaan Restoran Line Clear lengang sejak Perintah Kawalan Pergerakan.
Keadaan Restoran Line Clear lengang sejak Perintah Kawalan Pergerakan.

Abdul Latif berkata, disebabkan gambar lama itu tular menyebabkan restorannya dikunjungi penguat kuasa daripada Jabatan Kesihatan dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi melakukan pemeriksaan pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, restorannya itu beroperasi seperti biasa tanpa sebarang kesalahan yang dikesan oleh pasukan penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Latif berkata, pihaknya mungkin akan menutup seketika restorannya sebagai tanda patuh kepada saranan kerajaan supaya rakyat Malaysia duduk di rumah bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

"Mungkin kita akan tutup selama seminggu dan akan beroperasi semula apabila keadaan kembali pulih.

"Sebagai peniaga memang kami harapkan wabak ini dapat ditangani segera supaya kehidupan masyarakat semua akan kembali seperti biasa dan kami boleh terus berniaga,"katanya.