Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris

KEM badminton negara di Perancis memberi khabar gembira buat peminat tanah air apabila satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir Kejohanan Dunia 2025.
Pasangan nombor empat dunia itu mengikut jejak gandingan muda, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang menjadi wakil pertama Malaysia meraih slot lapan terbaik.
Tang Jie-Ee Wei meneruskan rentak positif selepas menewaskan Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dalam aksi pusingan ketiga di Adidas Arena, Paris sebentar tadi.
Mereka bagaimanapun bermula hambar apabila tewas set pertama 14-21 kepada pasangan Indonesia itu.
Enggan berputus asa, Tang Jie-Ee Wei bangkit menyusun semula gerakan untuk menang 21-19 bagi melanjutkan permainan ke set penentuan.
Mereka terus dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 dalam tempoh 68 minit permainan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melebarkan rekod kemenangan ke atas pasangan lawan 3-0.
Mereka bakal membuat perhitungan dengan pasangan nombor lima dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet atau wakil dari India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto yang berkedudukan ke-17 dunia dalam saingan suku akhir pada Jumaat.
Terdahulu, Pang Ron-Su Yin mara ke suku akhir selepas mengalahkan beregu berpengalaman profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam pertarungan tiga set 13-21, 23-21, 21-17 sepanjang 54 minit permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
