'Tangguh dulu sistem parkir berbayar'

SUNGAI PETANI - Pelaksanaan sistem parkir berpalang yang dijangka bermula Oktober ini di Pusat Perniagaan Pekan Rabu di sini diharap dapat ditangguhkan sementara bagi memberi ruang perbincangan terlebih dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai berkata, ia bagi memberi ruang kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) berbincang dengan para peniaga sebelum menaik taraf sistem tempat letak kereta berpalang tersebut.
Menurutnya, tindakan itu dikhuatiri mengundang kebimbangan peniaga dan berisiko menjejaskan perniagaan mereka.
"Peniaga bimbang perkara ini akan menjejaskan perniagaan mereka, terutama bila pelanggan nampak perlu membayar caj parkir walaupun hanya singgah sebentar.
"Saya rasa perkara ini harus ditangguhkan dahulu...bukannya hanya letak notis sahaja, kemudian terus laksanakan," katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya.
Ia susulan pemakluman menerusi kain rentang mengenai pelaksanaan sistem tersebut yang dikatakan bermula Oktober nanti telahpun dipasang.
Dalam pada itu, jelasnya, beliau juga menyedari terdapat beberapa kawasan lain sedang dinaik taraf antaranya di Lagenda Height, berdekatan Supermarket Billion dan Taman Pekan Baru terutama kawasan Public Bank.
"Pekerja kedai juga risau kos parkir akan meningkat dan menjadi beban tambahan kepada mereka. Bagi pelanggan pula, sistem ini kemungkinan menyukarkan kerana merasakan kurang kemudahan serta lebih banyak halangan.
"Bagi mereka yang sudah membayar sewa parkir bulanan, bagaimana pula selepas sistem berpalang ini dilaksanakan? Adakah kos parkir juga akan meningkat dan akhirnya membebankan peniaga, pekerja serta pelanggan?," katanya.
Beliau berharap pelaksanaan itu dapat ditangguhkan terlebih dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

