SPRM perkukuh pengurusan rekod, kenal pasti pola siasatan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh pengurusan rekod dan integriti agar data sentiasa dikemaskini, tepat serta berkualiti dalam menganalisis kejayaan selain mengenal pasti pola siasatan semasa.
Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM, Norkhafizin Isa berkata, bagi memperkukuhkan kesinambungan dan proses kerja, arahan-arahan dalaman SPRM yang telah dikeluarkan seharusnya dijadikan sebagai panduan serta rujukan pegawai rekod di Bahagian mahupun SPRM negeri.
Menurutnya, maklum balas, isu-isu yang dihadapi, pandangan serta cadangan pengguna sistem dari semasa ke semasa juga diperlukan bagi tujuan penambahbaikan sistem dan prosedur di peringkat berkaitan.
“Pegawai-pegawai rekod SPRM diharapkan saling bekerjasama dan membantu satu sama lain dalam perkongsian kepakaran mahu pun ilmu pengetahuan agar kerja harian menjadi lebih produktif.
“Kerahsiaan maklumat dan nilai integriti juga haruslah sentiasa dipelihara oleh pegawai dalam menguruskan maklumat dan data terperingkat,” katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Pegawai Pengurusan Rekod (PPR) Tahun 2025 anjuran BPRM di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari dengan kehadiran 55 pegawai PPR daripada Bahagian dan Negeri SPRM bertujuan untuk membincangkan isu serta cabaran pengurusan rekod terutamanya di peringkat negeri SPRM serta memperkukuhkan keberkesanan penyampaian maklumat.
Tambah beliau, hasil maklum balas dan isu yang dikemukakan daripada ahli mesyuarat akan diteliti serta diambil tindakan segera oleh pihak BPRM.
Turut diadakan Majlis Anugerah Pengurusan Rekod Operasi Terbaik Tahun 2024/2025 yang menyaksikan Bahagian Siasatan dan Bahagian Perisikan Ibu Pejabat telah diberikan Anugerah Pengurusan Rekod Operasi Terbaik Kategori Bahagian SPRM, manakala SPRM Sabah, SPRM Pahang, SPRM Sarawak, SPRM Melaka dan SPRM Johor mengungguli Anugerah Pengurusan Rekod Operasi Terbaik Kategori Negeri.
Sementara itu, Anugerah Khas juga telah diberikan kepada lima individu iaitu Kalsum Harun (SPRM Sabah), Noor Shafikah Hamzah (SPRM Pahang), Lavanya Rengarajoo (Bahagian Siasatan), Nurul Izzati Jamal (Bahagian Perisikan) dan Nor Asikin Ramly (Bahagian Pendakwaan).
Anugerah Khas ini diberikan atas komitmen cemerlang yang berjaya ditunjukkan dalam pelaksanaan tugas sebagai PPR sepanjang 2024 dan 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
