Sugarscarf kongsi rahsia kekal relevan, beri ruang Gen Z bersama industri

SHAH ALAM – Kehadiran jenama baharu khususnya daripada generasi muda tidak harus dilihat sebagai ancaman sebaliknya peluang untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dalam industri fesyen.
Ketua Pegawai Eksekutif Sugarscarf International Sdn Bhd, Nur Atiqah Sulaiman berkata, persaingan daripada jenama-jenama generasi Z merupakan sesuatu yang baik kerana ia menunjukkan pasaran sentiasa berkembang.

“Bagi saya, kehadiran pesaing daripada jenama baharu adalah sesuatu yang positif kerana pasaran tidak boleh dihalang atau dikawal.
“Jenama baharu akan sentiasa muncul dan sebagai orang lama dalam industri, kita perlu mengikuti perkembangan semasa,” katanya semasa temu bual bersama Sinar Harian.
Nur Atiqah berkongsi, strategi mengekalkan relevan bukan dengan menolak golongan muda tetapi memberi mereka ruang bekerjasama dalam industri.
“Untuk terus kekal relevan, kita boleh bawa golongan Gen Z masuk dan bekerja bersama kita, bukannya menganggap mereka sebagai pihak lawan.

“Saya percaya golongan muda lebih bijak dalam pemasaran serta mempunyai pemahaman terkini yang boleh memberi input baharu kepada syarikat,” ujarnya.
Tambahnya, kunci utama untuk bersaing adalah keberanian mencuba dan keyakinan terhadap kemampuan diri dalam meneruskan jenama.
“Kita mesti mempunyai keberanian dan percaya pada kebolehan diri. Itulah kekuatan sebenar dalam memastikan jenama terus bertahan dalam pasaran,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
