Buli: KPM teliti semua syor jawatankuasa khas

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti dan mengambil tindakan segera terhadap semua syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat bagi memerangi salah laku buli di institusi pendidikan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, KPM memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
"KPM mengalu-alukan cadangan dan sumbang saran daripada semua lapisan masyarakat bagi memerangi salah laku buli habis-habisan.
"Pada masa sama, usaha sedang digembleng dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan hasrat untuk mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan tercapai," katanya.
Terdahulu, sebanyak 17 syor dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut bagi menangani insiden buli dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Pengerusinya, Yeo Bee Yin berkata, antara syor yang dikemukakan ialah KPM perlu membuat hebahan segera serta mengambil tindakan dalam tempoh tiga bulan.
Jawatankuasa itu turut mengesyorkan agar KPM mewujudkan satu talian aduan buli khas dengan ciri-ciri mesra kanak-kanak, termasuk penggunaan bahasa yang mudah serta disesuaikan dengan usia dan keupayaan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

