Lebih 104 hektar tanaman durian haram di Raub ditebang

KUANTAN - Lebih 104 hektar atau 260 ekar tanaman durian di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benom, Raub telah ditebang sekali gus membuktikan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada Ops Sekat yang kini memasuki fasa empat bermula 21 Julai lalu bagi mengekang aktiviti penanaman durian haram di daerah berkenaan.
Menurutnya, sehingga kini lebih 10,000 hektar (25,000 ekar) kawasan durian haram telah disekat laluan keluar masuk.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau hutan simpan kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wan Rosdy menjelaskan, hasil operasi itu, seramai 45 individu telah ditahan melibatkan 20 kes kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Akta Perhutanan Negara, Akta Imigresen serta Akta Senjata.
Katanya, tangkapan ini membuktikan pendirian jelas kerajaan negeri yang tidak berlembut dengan mana-mana pihak yang berdegil menceroboh tanah kerajaan.

“Untuk makluman, Ops Sekat telah mula dilaksanakan sejak 25 April 2024 selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semakan kehakiman oleh 186 pekebun.
“Secara keseluruhan, sebanyak 129 individu telah ditangkap di bawah pelbagai kesalahan dengan 12 kes dibawa ke mahkamah,” katanya.
Menurut Wan Rosdy, sebahagian daripada mereka telah dijatuhi hukuman termasuk denda sehingga RM200,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Tegasnya, hukuman ini adalah amaran jelas bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali tunduk kepada penceroboh.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi itu dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Ujarnya, kerjasama itu memperkukuh tindakan kerajaan negeri dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh.
“Kerajaan negeri mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan hutan simpan kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.
“Sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

