Pil kuda murah punca 20 peratus penagih kembali menagih - AADK

KOTA BHARU – Sebanyak 20 peratus penagih yang menjalani rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di negara ini dikesan kembali menagih dadah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, peratusan itu sekali gus menimbulkan cabaran besar kepada usaha pemulihan pihaknya.
Bagaimanapun, katanya, kadar yang berjaya pulih jauh lebih tinggi iaitu 80 peratus, seterusnya membuktikan keberkesanan rawatan dan pemulihan di bawah AADK.
"Selain itu, bekalan pil kuda yang murah serendah RM5 sebiji menjadi antara faktor utama menyebabkan ramai terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Ini juga menjadi punca penagih yang sedang dirawat kembali menagih, tetapi angka mereka yang pulih lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas Op Perdana AADK Negeri Kelantan di Pejabat AADK Kelantan, pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah AADK Kelantan, Supindi Usop.
Menurut Khairul Anwar, data terkini sehingga 15 Ogos lalu menunjukkan lebih 50,000 penagih menjalani pemulihan di bawah AADK merangkumi Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi.
Tambahnya, PDK antara lain membolehkan penagih menjalani rawatan sambil kekal berada dalam masyarakat, namun timbul risiko kembali menagih kerana akses mudah kepada dadah sintetik terbabit.
“Di Kelantan sahaja, terdapat lebih 5,000 penagih yang menjalani PDK,” katanya.
Dalam usaha menangani isu ini, AADK Kelantan menjalankan Ops Perdana selama empat hari bermula Ahad lalu melibatkan 15 pegawai dan 75 anggota.
“Operasi tertumpu di daerah Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai dan beberapa kawasan di Kota Bharu yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.
“Hasil operasi, seramai 157 individu positif dadah ditahan, termasuk 152 daripadanya menggunakan methamphetamine atau lebih dikenali sebagai pil kuda,” katanya.
Jelasnya, operasi bertujuan mengesan penagih dan penyalah guna dadah, memutuskan rangkaian bekalan serta memusnahkan lokasi penagihan aktif.
Dalam perkembangan lain, Khairul Anwar memaklumkan bahawa pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), yang mula berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu, memberi kuasa lebih luas kepada AADK untuk menangani penyalahgunaan bahan termasuk gam dan ketum.
“Usaha pencegahan dan rawatan ini mesti dilakukan secara bersepadu termasuk peranan ibu bapa dan komuniti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

