Pelajar MARA diminta lapor keberadaan jika ingin pulang

MARA
MARA
A
A
A

MANCHESTER - Pelajar di bawah program pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara diminta melaporkan keberadaan mereka ke Pejabat MARA luar negara dan ibu pejabat MARA sekiranya ingin pulang.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Rohayah Mohd Zain berkata, MARA turut mengambil inisiatif dengan merekodkan kepulangan pelajar ke Malaysia secara dalam talian (online).

"Pelajar juga perlu memaklumkan akan perkara ini kepada pihak pejabat MARA luar negara dan Bahagian Penganjuran Pelajaran. Ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam menangani Covid-19," kata Rohayah kepada Bernama melalui e-mel.

Bagi pelajar yang akan menamatkan pengajian (tahun akhir), mereka hendaklah membuat tempahan tiket pulang dengan segera, disebabkan sesetengah syarikat penerbangan mula mengurangkan penerbangan.

"Pelajar juga hendaklah pulang dengan kadar segera, apabila menamatkan pengajian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, selepas pelajar tidak lagi mempunyai perlindungan insuran," jelas beliau lagi.

Ditanya sama ada MARA akan membawa pelajar pulang ke tanah air, beliau berkata, majlis tersebut akan mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri, sekiranya ada arahan untuk membawa pulang pelajar.

Dalam pada itu, penyelarasan tindakan akan dibuat di antara pejabat MARA luar negara bersama pihak kedutaan dan Kementerian Luar Negeri.

Mengenai kesan ke atas pinjaman pelajar, Rohayah berkata, masih terlalu awal untuk mengukur prestasi pelajaran dan setakat ini pinjaman pelajaran, kekal sebagaimana yang telah diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rata-rata universiti di United Kingdom telah menukar kaedah pembelajaran dan penilaian peperiksaan di mana kaedah pembelajaran bersemuka (face-to-face) dibatalkan dan diubah.

"MARA menyambut baik akan sebarang cadangan dan langkah yang diambil oleh pihak universiti, yang difikirkan boleh memberi manfaat kepada para pelajar di bawah tajaan MARA. Justeru, dalam hal ini, para pelajar adalah dinasihati agar sentiasa peka akan sebarang perubahan yang akan dimaklumkan, oleh pihak universiti," katanya lagi.

Setakat Mac 2020, terdapat seramai 2,932 orang pelajar tajaan MARA di luar negara dan menurut Majlis itu lagi, United Kingdom mencatatkan jumlah pelajar Malaysia tertinggi iaitu seramai 902 pelajar diikuti Australia (372), India (312), Jerman Barat (246), Ireland (225) dan Amerika Syarikat (222). - Bernama