Peserta RXZ Members terharu, penduduk kampung tahan motosikal ajak makan di rumah

KUALA TERENGGANU - Walaupun Himpunan RXZ Members 7.0 sudah melabuhkan tirai beberapa hari lalu, kenangan sepanjang acara itu masih segar dalam ingatan peserta.
Terbaharu, tular rakaman video menerusi TikTok @udee_steel yang menceritakan pengalaman tidak diduga apabila mereka ditahan seorang penduduk kampung dan diajak menikmati hidangan di rumah lelaki berkenaan ketika dalam perjalanan pulang.
"Time (waktu) ni ada pak cik ni tahan ajak kami makan dekat rumah dia. Pak cik ni siap cakap lagi susah nak tahan orang untuk jemput makan. Geng kami yang pertama makan dekat rumah pak cik tu," tulisnya menerusi perkongsian pada Selasa.
Menurutnya, mereka bukan sahaja menerima jemputan, malah dilayan dengan penuh mesra sepanjang berada di rumah berkenaan.
"Alhamdulillah, rezeki... Terima kasih pak cik jemput geng motor macam kami ni datang rumah. Kami pun nak minta maaf sebab bunyi ekzos bising masuk kawasan kampung. Ada rezeki kita jumpa tahun depan lagi ye," kongsinya lagi.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi positif warganet yang menganggap ia bukti keramahan penduduk Terengganu terhadap tetamu.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna bernama Fitkry Yusoff berkongsi pengalaman sama apabila menginap di homestay di sebuah kampung.
"Pagi-pagi lagi mai (datang) hantaq (hantar) nasi lemak dan cucur. Kami bagitau kami minta maaf kalau ada buat bising. Mak cik tu cakap tak apa, bukan selalu pun. Terima kasih warga Ganu yang baik-baik," tulisnya.
Sementara itu, Muhammad Azarul Redzuan pula menulis pengalaman menyentuh hati ketika ditanya oleh seorang penduduk kampung sebelum pulang.
"Dia pesan balik molek, hati-hati.. Terima kasih datang Terengganu ya. Jangan laju-laju, tahun depan nok (mahu) mari (datang) lagi ork (kan)... Kita yang dengar terus jadi sebak," katanya.
Seorang lagi pengguna, Muhammad Nurul Islam pula menyifatkan layanan mesra penduduk Terengganu menjadi antara tarikan utama mengapa RXZ Members mendapat sambutan besar setiap tahun.
"Bukan sebab suasana di tapak event semata-mata, tapi juga suasana dilayan dan disambut mesra oleh rakyat Terengganu tu sendiri yang menjadi tarikan mereka datang ke Terengganu," tulisnya.
Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Ogos lalu di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus mencatat penyertaan sekitar 150,000 peserta, sekali gus menjadi edisi paling besar dan berjaya setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
