Wolves 'kokak' West Ham di Molineux

WOLWERHAMPTON Wanderers akhirnya menemui rentak kemenangan apabila bangkit menewaskan West Ham United 3-2 pada aksi pusingan kedua Piala Liga di Stadium Molineux, awal pagi Rabu.
Skuad kendalian Vítor Pereira itu sebelum ini dikecam hebat susulan dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tumbang 0-4 kepada Manchester City diikuti tewas tipis 0-1 di tangan Bournemouth.
Namun, semangat juang berbeza dipamerkan di pentas kalah mati apabila The Wolves menyingkirkan The Hammers dalam perlawanan penuh dramatik.
Rodrigo Gomes meletakkan Wolves di depan pada minit ke-43 babak pertama selepas percubaan penalti Hwang Hee-chan singgah di tiang, hasil kekasaran Guido Rodriguez terhadap Jean-Ricner Bellegarde.
West Ham bagaimanapun bangkit selepas rehat apabila Tomas Soucek menanduk masuk gol penyamaan sebelum Lucas Paqueta memanfaatkan kelalaian pertahanan tuan rumah untuk menolak masuk hantaran Jarrod Bowen, menjadikan kedudukan 2-1 buat pelawat.
Namun, kemasukan Jorgen Strand Larsen menjadi titik perubahan apabila penyerang berusia 24 tahun itu, yang menjadi rebutan Newcastle United dengan bidaan minggu ini, meledak dua kali dalam tempoh lapan minit terakhir, sekaligus menyalakan sorakan padu di Stadium Molineux.
Kemenangan ini bukan sahaja membawa Wolves ke pusingan ketiga Piala Liga, malah memberi suntikan moral besar buat Pereira dalam usaha mengembalikan keyakinan pemain selepas permulaan hambar liga.
Sebaliknya, kekalahan itu terus menambah tekanan kepada pengendali West Ham, Graham Potter, yang kini hanya menang lima daripada 21 perlawanan sejak mengambil alih awal tahun ini.
Sebagai rekod, prestasi Potter menyamai tempoh singkat pendahulunya, Julen Lopetegui, sebelum dipecat Januari lalu.
Wolves akan kembali ke aksi EPL menentang Everton di Molineux hujung minggu ini sebelum bertandang ke Newcastle bulan depan.
West Ham pula dijadual menentang Nottingham Forest pada Ahad sebelum berdepan derbi London menentang Tottenham Hotspur, 13 September depan.
PIALA LIGA 2025/26
KEPUTUSAN
Pusingan Kedua
Reading 2-1 AFC Wimbledon
Cambridge United 3-1 Charlton Athletic
Wolves 3-2 West Ham United
Barnsley 2-1 Rotherham United
Preston North End 2-3 Wrexham
Wigan Athletic 1-0 Stockport County
Swansea City (5) 1-1 (3) Plymouth Argyle
Bromley (4) 1-1 (5) Wycombe Wanderers
Bournemouth 0-2 Brentford
Birmingham City 0-1 Port Vale
Accrington Stanley 0-2 Doncaster Rovers
Millwall 2-1 Coventry City
Cardiff City 3-0 Cheltenham Town
Burnley 2-1 Derby County
Norwich City 0-3 Southampton
Sunderland (5) 1-1 (6) Huddersfield Town
Burton Albion 0-1 Lincoln City
Stoke City 0-3 Bradford City
Sheffield Wednesday (3) 1- 1 (0) Leeds United
28 OGOS (KHAMIS)
JADUAL
Fulham lwn Bristol City
Everton lwn Mansfield Town
Oxford United lwn Brighton
Grimsby Town lwn Manchester United, 3 pagi
* Semua perlawanan bermula jam 2.45 pagi kecuali dinyatakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
