Sze Fei-Nur Izzuddin mudah mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun

Nur Izzuddin (kanan) dan Szi Fei mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan Kanada di Tokyo pada Selasa. Foto Agensi
Nur Izzuddin (kanan) dan Szi Fei mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan Kanada di Tokyo pada Selasa. Foto Agensi
A
A
A

BEREGU utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati ramalan apabila mudah mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo sebentar tadi.

Pasangan profesional itu tiada masalah untuk menjinakkan gandingan Kanada, Kevin Lee-Alexander Lindeman secara straight set dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan itu.

Pada kejohanan berstatus Super 750 itu menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin bermula dengan langkah kanan apabila mudah memenangi set pertama 21-13.

Kevin-Lindeman cuba memberi tentangan sengit, namun pengalaman memihak Sze Fei-Nur Izzuddin untuk mengesahkan kemenangan 21-15 dalam tempoh 23 minit permainan.

Dalam saingan pusingan kedua pada Khamis, gandingan nombor satu dunia itu akan menentang cabaran antara pemenang dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita atau Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Terdahulu, impian beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting untuk menjejakkan kaki ke pusingan 16 terbaik tidak kesampaian.

Pasangan muda negara itu tumpas di tangan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun dalam pertarungan tiga set.

Mereka bermula positif apabila menang set pertama 21-17, namun terpaksa akur apabila tewas 8-21, 8-21 kepada pasangan nombor enam dunia itu dalam tempoh 56 minit permainan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!