Pesan rantai kunci tapi yang sampai ketulan batu

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan terkejut apabila menerima ketulan batu selepas membuat pesanan rantai kunci figura kartun menerusi sebuah akaun TikTok yang menawarkan jualan secara siaran langsung.
Mangsa, Putriquxiara Md Sarrif, 17, berkata, dia membuat pesanan tersebut pada 19 Ogos lalu dengan harga RM60 selepas tertarik dengan promosi yang tular di platform berkenaan.
Menurut Putriquxiara, dia percaya sesi siaran langsung itu benar-benar dibuat secara langsung, namun kemudian menyedari ia hanyalah rakaman semula.
“Saya memang sudah lama mahu beli rantai kunci itu, jadi apabila nampak iklan mereka secara langsung saya terus tertarik. Tetapi selepas diperhatikan semula, ia bukan siaran langsung sebenar,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Putriquxiara berkata, dia menunggu lebih seminggu sebelum menerima bungkusan berkenaan pada 25 Ogos lalu.
Namun, sebaik dibuka, dia mendapati isi kotak yang diterima bukanlah rantai kunci yang dijanjikan, sebaliknya ketulan batu.
“Saya sangat kecewa sebab memang niat nak simpan sebagai koleksi, tetapi bila buka bungkusan cuma ada batu. Masa itu memang saya menangis,” ujarnya.
Sementara itu, bapanya, Md Sarrif Abd Majid, 45, berkata, sebaik dimaklumkan tentang perkara itu, dia segera membuat aduan kepada akaun penjual berkenaan namun tidak mendapat sebarang respons.
“Mereka bukan sahaja tidak membalas mesej, malah akaun saya terus disekat daripada membuat komen atau menghubungi mereka lagi,” katanya.
Jelasnya, modus operandi penjual berkenaan adalah dengan menyiarkan rakaman video lebih awal dan berpura-pura seolah-olah sedang berinteraksi dengan pembeli.
“Kalau kita perhatikan betul-betul, penjual tidak membaca komen yang dihantar oleh penonton. Jadi mudah untuk mereka menipu kerana ramai tidak sedar siaran itu sudah dirakam terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya, teknik itu kini digunakan secara meluas oleh scammer kerana ia kelihatan meyakinkan dan mampu memperdaya pembeli yang kurang berhati-hati.
Sehubungan itu, Md Sarrif berharap pihak TikTok lebih tegas memantau akaun-akaun yang wujud hanya untuk memperdaya pengguna dengan cara licik tersebut.
“Saya harap pihak berkuasa dan pengendali platform tidak membiarkan pengguna ditipu sebegini. Jangan biarkan sindiket ini mengaut keuntungan mudah dengan menipu orang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

