31,949 kes penipuan dalam talian, hampir 12,000 individu ditahan

Saifuddin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Saifuddin. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sebanyak 31,949 kes penipuan dalam talian dengan seramai 11,864 individu berjaya ditahan pada tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan tersebut adalah hasil daripada lebih 10,000 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“Usaha membanteras jenayah siber tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan, sebaliknya turut melibatkan strategi jangka panjang, kerjasama serantau serta kolaborasi antara sektor awam dan swasta.

“Kejayaan ini membuktikan polis bukan sahaja sebuah agensi penguatkuasaan, tetapi institusi moden yang menggerakkan daya tahan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Dialog Khas PDRM III di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini pada Selasa.

Saifuddin berkata, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) akan menjadi antara langkah ke hadapan dalam memperkukuh keberkesanan polis menangani jenayah siber.

“Kita komited meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan melalui pemodenan infrastruktur, pengembangan kapasiti serta sokongan rentas sektor,” katanya.

Mengulas mengenai dialog khas berkenaan, Saifuddin menjelaskan ia memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara yang kini turut merangkumi perlindungan data serta kesedaran siber.

“Kerjasama antara agensi amat penting bagi menghadapi jenayah siber yang semakin kompleks.

“Peranan JSJK sebagai benteng utama jenayah komersial juga perlu terus diperkasa kerana ia bukan sahaja melindungi ekonomi negara, malah meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dialog itu turut menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam menyokong perancangan strategik PDRM, khususnya berkaitan dasar dan undang-undang jenayah komersial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!