Pelajar jatuh asrama: KPM mulakan siasatan, pengetua dan warden dipindah sementara

Laporan Sinar Harian berhubung pelajar Tingkatan Tiga kritikal, keluarga khuatir jadi mangsa buli. Foto kecil: Fadhlina Sidek
Laporan Sinar Harian berhubung pelajar Tingkatan Tiga kritikal, keluarga khuatir jadi mangsa buli. Foto kecil: Fadhlina Sidek
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman berhubung kemalangan melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, susulan itu pihaknya akan menempatkan sementara pengetua, penolong kanan hal ehwal murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan secara terperinci dalam semua aspek yang berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian tersebut.

"Saya mengambil perhatian kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini. Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital.

"Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Pada masa sama, KPM juga telah memulakan proses siasatan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku buli,

Sebelum ini, seorang pelajar Tingkatan Tiga, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi kini berada dalam keadaan kritikal selepas dikhuatiri menjadi mangsa buli di asrama.

Tambah Fadhlina, tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian itu melibatkan salah laku buli.

"Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!