Bangladesh kehabisan sumber tampung 1.3 juta pelarian Rohingya
Seru komuniti antarabangsa mencari penyelesaian mampan bagi krisis itu.

COX’S BAZAR – Bangladesh kini tidak lagi mampu menyediakan sumber tambahan bagi 1.3 juta pelarian Rohingya, menurut Ketua Penasihat Kerajaan Interim negara itu, Muhammad Yunus yang menyeru komuniti antarabangsa mencari penyelesaian mampan bagi krisis itu.
Kanak-kanak membentuk separuh daripada jumlah pelarian Rohingya yang kini menetap di Bangladesh, kebanyakannya melarikan diri daripada serangan tentera Myanmar pada 2017 yang digelar oleh penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'contoh klasik pembersihan etnik'.

“Dengan pelbagai cabaran yang kami hadapi, kami tidak melihat sebarang ruang untuk menambah sumber domestik lagi,” kata Dr Yunus, pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan perdana menteri de facto Bangladesh dalam ucapan beliau pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa isu Rohingya dan penyelesaiannya yang mampan harus terus kekal dalam agenda global sehingga mereka dapat pulang ke tanah air.
Ucapannya ini juga menandakan ulang tahun kelapan sejak lebih 700,000 Rohingya tiba dalam tempoh beberapa hari, menjadikan kawasan sekitar bandar pantai Cox’s Bazar sebagai penempatan pelarian terbesar di dunia.
Lebih 150,000 pelarian baharu tiba dari negeri Rakhine di barat Myanmar dalam tempoh setahun lalu, susulan peningkatan konflik antara tentera junta Myanmar dan Tentera Arakan.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

