Rakyat perlu patuh Perintah Kawalan Pergerakan: MB Perak

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Rakyat Perak perlu serius melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membantu membendung koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insiden jemaah bertegas untuk solat di masjid serta berada di lapangan tidak seharusnya berlaku sekiranya rakyat faham dengan arahan perintah yang dikeluarkan Isnin lalu.

"Saya berharap rakyat faham bahawa tindakan kerajaan mengeluarkan perintah itu adalah untuk kebaikan semua selain menjaga diri agar tidak dijangkiti virus yang boleh mengancam nyawa.

"Usaha itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini. Pelaksanaan perintah seperti itu menyebabkan banyak perkara terhalang.

"Kita tidak dapat menaikkan ekonomi negara serta menyulitkan pembangunan negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Perak di Pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak di sini hari ini.

Ahmad Faizal mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Perak.
Ahmad Faizal mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Perak.

Pada mesyuarat itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya memutuskan untuk memanjangkan bantuan ihsan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Semua agensi penguatkuasa juga perlu menggunakan kaedah nasihat secara berhemah kepada semua orang awam dalam menggunakan perintah larangan ini.

"Mesyuarat ini dilaksanakan secara berkala bersama ketua agensi yang dikenalpasti dan semua agensi diminta berkongsi dan memberikan input serta informasi yang terkini supaya dapat diselaraskan dan dibincangkan dalam mesyuarat ini," katanya.

Artikel Berkaitan: