Pelajar maut, penghantar barang parah dirempuh kenderaan

SHAH ALAM – Hasrat seorang penghantar barang untuk membantu mangsa kemalangan berakhir tragedi apabila kedua-dua mereka dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 1.2 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku selepas seorang pelajar Tingkatan Empat terjatuh di lorong tengah lebuh raya dari arah Shah Alam menghala ke Klang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dipercayai hilang kawalan sebelum tergelincir.
“Seorang penunggang motosikal lain, lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang, kebetulan melalui lokasi kejadian lalu berhenti untuk membantu mangsa.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya datang dari arah sama dan merempuh kedua-dua penunggang motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, pelajar berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penghantar barang tersebut pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Zon Merah, Wad Kecemasan Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

