Dakwaan 'Graduate Pass' ada asas kukuh - Haim Hilman

ALOR SETAR - Dakwaan mengenai isu 'Graduate Pass' pelajar Bangladesh mempunyai asas kukuh selepas ia turut dilaporkan media arus perdana negara tersebut dan disiarkan di laman sosial rasmi kerajaan sementara Bangladesh, kata Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah.
Menurutnya, isu berkenaan wajar dijelaskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana membabitkan kepentingan rakyat dan pasaran kerja tempatan.
"Laman Facebook rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh telah mengeluarkan kenyataan yang dipercayai hasil pertemuan antara Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Profesor Dr Muhammad Yunus dengan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
“Dalam kenyataan tersebut, dinyatakan bahawa Malaysia telah bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan pelaksanaan Graduate Pass bagi pelajar Bangladesh. Maka, adalah wajar saya bangkitkan isu ini bagi mendapatkan penjelasan rasmi daripada pihak kementerian kerana ia menyentuh kepentingan rakyat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan di media sosial.
Haim Hilman turut mempersoalkan mengapa berita mengenai Graduate Pass tidak mendapat liputan media tempatan, sedangkan ia dilaporkan secara meluas oleh media arus perdana Bangladesh termasuk Pejabat Chief Adviser Government of Bangladesh (GOB).
“Apakah YB Menteri ingin mengatakan bahawa kerajaan Bangladesh sanggup berbohong kepada rakyatnya tentang perkara sebesar ini? Jika benar mereka berbohong, maka adalah wajar kerajaan Malaysia mengarahkan mereka membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dan menurunkan hantaran berkaitan di laman rasmi Chief Adviser GOB yang turut dikongsi Kedutaan Bangladesh di Malaysia,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu menegaskan beliau tidak pernah menyebut wujud sebarang memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani, sebaliknya hanya meminta penjelasan rasmi kerana isu ini menyentuh masa depan tenaga kerja tempatan.
Dalam masa sama, beliau menuntut Menteri Pengajian Tinggi memohon maaf secara terbuka kerana menuduhnya sebagai seorang yang tidak bercakap menggunakan fakta yang benar, tepat dan sahih, malah menggambarkan kenyataannya bersifat semborono.
“Saya ingin mengingatkan bahawa setiap tahun lebih 300,000 graduan tempatan dilahirkan oleh universiti awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti. Namun menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, difahamkan sehingga Jun 2025, sekitar 518,700 masih menganggur, manakala kira-kira 1.9 juta graduan pula bekerja di bawah kelayakan sebenar mereka iaitu ijazah.
“Dalam keadaan ini, sebarang berita mengenai kemasukan pekerja asing berkemahiran atau pembukaan ruang pekerjaan kepada warga asing pasti menimbulkan kebimbangan berasas dalam kalangan rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, jumlah sekitar 10,000 mahasiswa Bangladesh di Malaysia bukan angka kecil dan berpotensi memberi kesan besar kepada pasaran kerja sekiranya benar mereka diberi kebenaran bekerja selepas tamat pengajian.
“Saya tidak melihat isu ini sebagai modal politik, sebaliknya sebagai tanggungjawab terhadap masa depan graduan tempatan dan kelangsungan pasaran kerja anak-anak Malaysia,” tegasnya.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menafikan dakwaan Haim Hilman semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis, bahawa 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia akan diberikan Graduate Pass bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini.
Zambry menegaskan tuduhan Haim Hilman itu tidak berasas dan beliau perlu lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan melibatkan isu pendidikan tinggi.
Menurut Zambry, semasa lawatan Muhammad Yunus baru-baru ini, tidak ada sebarang MoU ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

