'Dia tulang belakang keluarga, kini saya kehilangannya'

Roszainida sayu ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Banting. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Danish, Muhammad Adib, Hariz
Roszainida sayu ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Banting. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Danish, Muhammad Adib, Hariz
A
A
A

KUALA LANGAT –  “Dia tulang belakang saya, anak sulung yang banyak membantu keluarga sejak ayahnya sakit dan adiknya pula menghidap barah. Kini, saya kehilangannya buat selama-lamanya.”

Demikian luahan sayu Roszainida Hassan, 40, ibu kepada Muhammad Danish Shamsul Sharizan, 16, yang maut selepas kereta dipandunya bersama lima lagi remaja terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, tiga lagi mangsa iaitu Muhammad Adib Anuar, 16, Muhammad Danish Farhan Alias, 19, dan Hariz Nazri, 19, turut disahkan maut.

Dua lagi remaja, Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Danish Haikal Nazri, 17, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Roszainida, anak sulungnya keluar rumah dengan alasan mahu ke bengkel berhampiran untuk membaiki motosikal.

“Dia beritahu mahu ke bengkel sebab hendak tolong saya. Dia tahu ayahnya sakit dan adik pula perlukan rawatan barah yang menelan belanja besar. Saya hanya sempat pesan, ‘hati-hati’. Itu saja,” katanya.

Jelasnya, arwah menjadi tulang belakang keluarga sejak tiga tahun lalu apabila suaminya tidak lagi mampu bekerja kerana masalah kesihatan.

“Saya cuma suri rumah yang mengambil upah menghantar dan menjemput budak sekolah. Dialah yang banyak bantu saya bayar duit rumah, beli barang, masak, malah uruskan adik-adiknya. Kehilangannya amat besar buat kami,” ujarnya.

Sementara itu, Anuar Kamil, 44, bapa kepada Muhammad Adib berkata, dia sempat bertemu anak keduanya itu pada petang sebelum tragedi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan, petang semalam dia balik rumah sebab main takraw. Dekat waktu Maghrib, dia balik, saya sempat tegur sama ada sudah solat atau belum. Lepas itu, dia keluar balik. Itulah kali terakhir saya jumpa dia,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka anaknya keluar bersama rakan-rakan kerana menyangka Adib hanya pergi bermain takraw.

“Saya nampak dia bawa stoking, memang untuk main takraw. Saya tak tahu pun dia keluar dengan kawan-kawan malam itu. Tak ada pula dia bergurau atau berbual apa-apa sebelum kejadian. Dia anak biasa, normal macam remaja lain, ada karakternya sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, suasana pilu turut dirasai Nururrarizikiah Jantan, 47, yang kehilangan anak ketiganya, Hariz Nazri, 19, sementara seorang lagi anaknya, Danish Haikal Nazri, 17, kini kritikal.

Menurutnya, Hariz baru pulang bekerja sebelum keluar semula bersama rakan-rakan termasuk adiknya pada malam kejadian.

Gambar kenangan mangsa maut, Hariz (kanan) bersama adiknya, Danish Haikal Nazri, 17, (tengah) yang masih kritikal ketika menyambut hari kelahiran kakak mereka, Nur Danisha (kiri).
Gambar kenangan mangsa maut, Hariz (kanan) bersama adiknya, Danish Haikal Nazri, 17, (tengah) yang masih kritikal ketika menyambut hari kelahiran kakak mereka, Nur Danisha (kiri).

“Mereka memang selalu lepak dengan kawan-kawan di rumah saya saja. Malam itu pun Hariz ada di rumah sebelum keluar. Dia memang seorang saja yang bekerja,” katanya.

Beliau berkata, ketika di Unit Forensik Hospital Banting, dia sendiri mengesahkan identiti Danish Haikal yang cedera parah selepas doktor menunjukkan kad pengenalan anaknya.

“Doktor beritahu kaki kiri dan kanannya patah, tangan kiri juga patah dan ada kecederaan otak. Keadaannya masih kritikal. Seorang anak saya pergi, seorang lagi masih bertarung nyawa,” katanya sebak.

Ahli keluarga waris yang tiba di Unit Forensik Hospital Banting selepas dimaklumkan mengenai tragedi menimpa mangsa pada Sabtu.
Ahli keluarga waris yang tiba di Unit Forensik Hospital Banting selepas dimaklumkan mengenai tragedi menimpa mangsa pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Mohd Radzi dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Corolla berwarna merah yang datang dari arah Pantai Morib menuju Telok Panglima Garang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit lalu merempuh tembok.

Beliau berkata, semua mangsa berusia 16 hingga 19 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!