3 remaja maut, 3 cedera kereta terbabas dalam parit

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiga remaja lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, Kuala Langat, awal pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.56 pagi.
Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.
“Sebaik tiba, bomba mendapati sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipercayai terbabas ke dalam parit dengan enam remaja lelaki warga tempatan berada dalam keadaan bertindih di dalam kenderaan berkenaan.
“Bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa, iaitu bermula jam 4.20 pagi sehingga mangsa keenam pada jam 5.15 pagi sebelum mereka dihantar ke Hospital Banting,” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, siasatan mendapati tiga mangsa mengalami kecederaan di kepala, badan, tangan dan kaki, manakala tiga lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Empat daripada enam remaja itu sudah dikenal pasti, iaitu Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, dan Muhammad Danish Farhan Alias, 19, kedua-duanya cedera.
“Manakala, Muhammad Adib Anuar, 16, dan Hariz Nazri, 19, adalah mangsa yang meninggal dunia. Dua lagi mangsa belum dikenal pasti. Operasi bomba tamat jam 6.15 pagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

