Lelaki bakar kafe kerana tidak dapat mayonis

SEVILLA - Hanya kerana sandwich tanpa mayonis, sebuah kafe di bandar Los Palacios y Villafranca, Sepanyol, hampir musnah selepas seorang lelaki bertindak di luar kawalan dalam insiden yang berlaku pada malam Rabu.
Kejadian mencemaskan itu berlaku apabila lelaki berusia 50 tahun tersebut naik angin sebaik pelayan memaklumkan kafe berkenaan tidak menyediakan sebarang sos.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menyiram petrol di dalam bar sebelum menyalakan api hingga mencetuskan suasana panik.
Dalam sekelip mata, api marak menyambar seluruh ruang dan memaksa pelanggan termasuk kanak-kanak serta warga emas melarikan diri menyelamatkan diri.
Dalam kekecohan ketika cuba membakar kafe itu, suspek turut terkena tempias apabila tangan kirinya terbakar akibat tersilap langkah.
Dia dilihat berlari keluar sambil menepuk-nepuk tangan kirinya cuba memadamkan api yang sedang marak.
Media tempatan melaporkan, sebelum kejadian lelaki itu dua kali meminta mayonis namun diberitahu bahawa kafe tidak menyediakan sos kerana tiada dapur.
Berang dengan jawapan itu, dia berjalan ke stesen minyak berhampiran dan membeli kira-kira 1.5 liter petrol.
Suspek kemudian kembali ke kafe berkenaan dan terus menyalakan api sehingga menyebabkan kerosakan dianggarkan antara £6,000 hingga £7,000 (sekitar RM34,000).
Pemilik kafe, Jose Antonio Caballero, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai kerana semuanya berpunca daripada sebotol mayonis.
Menurutnya, pekerja sudah menjelaskan dengan baik bahawa kafe tersebut hanya menjual sandwich siap dibungkus tanpa sebarang pilihan sos.
Bagaimanapun, lelaki itu tetap berdegil sebelum kembali dengan botol berisi petrol dan mengulangi pertanyaannya mengenai mayonis.
Polis segera tiba di lokasi, menahan suspek dan membawanya ke pusat kesihatan untuk rawatan luka melecur.
Lelaki dari wilayah Cordoba itu kini ditahan pihak Guardia Civil dan dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

