Treler alami masalah brek rempuh enam kenderaan

 Sebuah treler dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat.
Sebuah treler dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat.
A
A
A

KLANG – Sebuah treler dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu membabitkan sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dari arah Westport menghala ke Telok Gong.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati lori treler berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas sistem brek angin tidak berfungsi.

"Lori itu kemudian melanggar empat kereta, sebuah van dan sebuah lori yang berada di hadapannya sebelum terbalik.

"Akibat kejadian itu, pemandu lori treler berkenaan berjaya dibawa keluar dari kenderaan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat.
Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kira-kira jam 11 malam bagi menjalankan kerja pembersihan susulan tumpahan minyak di atas jalan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan turut menjalankan kawalan lalu lintas bagi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Semua kenderaan yang terbabit berjaya dialihkan sepenuhnya dan keadaan lalu lintas dapat dikawal," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!