15 tahun hias rumah dengan Jalur Gemilang, demi semarak Merdeka

SEREMBAN – Sudah menjadi rutin sejak 15 tahun lalu bagi seorang penduduk di Taman Pinggiran Senawang di sini untuk menghias kawasan rumahnya dengan Jalur Gemilang setiap kali musim sambutan Hari Kebangsaan.
Bagi Jasmin Abu Hassan, 53, hatinya tidak akan tenang sekiranya rumahnya tidak dipasang dengan bendera berkenaan.
Namun, berbeza kali ini, bapa kepada enam anak itu membuat dekorasi tambahan termasuk meletakkan 10 potret Perdana Menteri di hadapan rumahnya sebagai usaha memburu gelaran 'Rumah Terpaling Merdeka' yang dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
"Biasanya saya akan pasang bendera Malaysia dan bendera Negeri Sembilan sahaja, tetapi kali ini saya menghias rumah dengan lebih banyak bendera.
"Seronok pula tengok rumah penuh dengan Jalur Gemilang dan setakat ini lebih 100 helai telah dipasang," katanya.
Jasmin yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta berkata, dia tidak kisah berbelanja lebih untuk membeli Jalur Gemilang bagi meraikan Hari Kebangsaan negara.
Tambahnya, ia sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan para pejuang terdahulu dalam memperoleh kemerdekaan.

"Biasanya saya akan ambil masa selepas balik kerja dan pada cuti hujung minggu untuk buat dekorasi bendera ini," katanya yang turut mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Pinggiran Senawang, Fadzil Sharif, 59, berkata, pertandingan Rumah Terpaling Merdeka yang dianjurkan pihaknya bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
Jelasnya, setiap minggu sepanjang bulan Ogos akan ada pemenang dari tempat pertama hingga ketiga dan mereka akan disenaraikan untuk pertandingan akhir pada malam ambang Merdeka bagi memilih juara keseluruhan.
"Berdasarkan penganjuran tahun lalu, kami mendapati sambutannya memang menggalakkan. Namun, ia akan lebih meriah apabila menjelang tarikh 31 Ogos nanti.
"Jadi, kami mahu penduduk mula menghias rumah sejak 1 Ogos sehingga akhir bulan ini bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

