Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Pekebun getah, sawit boleh teruskan aktiviti

23
23
A
A
A

PUTRAJAYA - Penoreh getah dibenarkan meneruskan aktiviti menoreh bagi memastikan keperluan bekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter.

Selain itu, mereka yang bekerja di industri perladangan sawit turut diberi kelonggaran meneruskan aktiviti.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan kepada kepentingan, Kabinet yang bermesyuarat pada pagi ini memberi kelonggaran kepada sektor perladangan dan komoditi.

"Kementerian mengambil maklum kepentingan industri getah dan sawit yang menyumbang kepada rantaian bekalan seperti pembekalan minyak masak dan peralatan perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kelonggaran tersebut merangkumi kebenaran penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil selain membenarkan pemprosesan dilaksanakan kilang sawit.

"Kerajaan turut membenarkan pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

"Penorehan getah dibenarkan bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter.

"Kabinet juga membenarkan aktiviti bagi sektor perkayuan beroperasi untuk memenuhi kontrak sedia ada yang telah dimeterai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat di dalam aktiviti yang dinyatakan hendaklah memastikan segala langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak Covid-19 dipatuhi.

"Ini termasuk meminimumkan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjarakkan sentuhan fizikal (social distancing) dan pulang segera ke rumah atau penempatan setelah selesai bekerja.

"Semua pihak diingatkan sentiasa menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman," katanya.