Lapan bas ke Karnival Siang Malam Karangkraf, SK TUDM juara Sekolahku Meriah

Murid SK TUDM bersama-sama meraikan kemenangan sekolah mereka.
Murid SK TUDM bersama-sama meraikan kemenangan sekolah mereka.
A
A
A

SUBANG – Usaha Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM menyediakan lapan buah bas untuk murid dan guru menghadiri Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Julai lalu membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sekolahku Meriah sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Guru Besarnya, Zatul Bazamah Abu Bakar berkata, bagi memenuhi kriteria kategori tersebut, SK TUDM turut menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan Dikir Barat yang berlangsung pada hari pertama karnival berkenaan.

“Ini merupakan kemenangan kali kedua. Kami pernah memenangi kategori sama pada Karnival Pendidikan 2023 anjuran Karangkraf juga. Murid-murid bukan sahaja memenuhi lawatan, malah mereka memperoleh pengalaman sangat berharga di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.

Zatul Bazamah
Zatul Bazamah

“Syukur alhamdulillah murid dan guru dapat menikmati tawaran harga menarik pelbagai bahan bacaan selain menyertai aktiviti bermanfaat yang disediakan. Mereka sangat teruja dapat menikmati pelbagai menu dan bertemu dengan ramai rakan dari sekolah lain,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Mock Cheque Pertandingan Sekolahku Meriah di Dataran Ibnu Sina, SK TUDM pada Khamis.

Tambah Zatul Bazamah, penganjuran karnival seumpama itu dilihat sangat bersesuaian untuk pelajar sekolah rendah dan menengah kerana mereka dapat mempelajari pelbagai bidang, mengikuti aktiviti berfaedah serta meninjau buku-buku keluaran Karangkraf sendiri.

“Mereka amat gembira. Saya berharap program ini dapat diadakan secara berterusan setiap tahun kerana murid-murid sekolah ini memang gemar menyertai pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan.

Artikel Berkaitan:

Meen (lima dari kiri) menyampaikan replika hadiah wang tunai RM5,000 kepada Guru Besar SK TUDM pada Khamis.
Meen (lima dari kiri) menyampaikan replika hadiah wang tunai RM5,000 kepada Guru Besar SK TUDM pada Khamis.

“Kami juga dapat mencungkil bakat murid selain berpeluang merebut hadiah lumayan yang ditawarkan Karangkraf. Sudah pasti ini menjadi pendorong kepada pihak sekolah untuk menggalakkan lebih ramai pelajar dan ibu bapa menyertai program-program akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari (APSB), Meen Tahrin berkata, penyertaan sekolah-sekolah di seluruh Selangor pada tahun ini sangat memberangsangkan.

Menurutnya, pemilihan SK TUDM berdasarkan kehadiran paling ramai warga sekolah berkenaan pada tiga hari berturut-turut karnival berlangsung.

“Tahniah dan syabas kepada SK TUDM. Diharap sekolah ini dapat menyertai pelbagai lagi pertandingan yang ditawarkan pada karnival akan datang. Kami percaya murid dan guru sekolah ini pasti dapat merangkul lebih banyak hadiah menarik lagi,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!