[VIDEO] Teka Tutup Botol: Farhan bertuah bawa pulang motosikal EV Lion G1
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM – Hanya dengan satu penyertaan, seorang pemandu pelancong dari Damansara Perdana, Muhammad Farhan Zainuddin, 37, dinobatkan sebagai penerima hadiah utama pertandingan Teka Tutup Botol sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
Kemenangan itu membolehkan Farhan membawa pulang sebuah motosikal eletrik (EV) Lion G1 tajaan GGR Motor (M) Sdn Bhd bernilai RM3,999.

Menurut Farhan, dia langsung tidak menyangka percubaan spontan meneka jumlah tutup botol pada petang Ahad lalu membuahkan hasil yang cukup lumayan.
“Saya sebenarnya tak jangka langsung boleh menang. Ini kali pertama dalam hidup saya menang hadiah paling mahal macam ini, rezeki betul,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Karangkraf pada Selasa.
Anak kelahiran Terengganu itu berkata, dia membuat kiraan berdasarkan ukuran tong pameran yang digunakan dalam pertandingan tersebut sejak hari pertama karnival.
“Saya datang dari hari Jumaat, tengok balang dan buat keputusan untuk letak tekaan 6,543 kerana yakin dengan anggaran itu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia hanya menghantar satu penyertaan sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak penganjur dan menyerahkan sepenuhnya kepada kiraan logik dan nasib.
“Saya berpegang pada kiraan matematik yang dibuat lebih awal. Bila diumumkan menang, saya terkejut tapi sangat bersyukur kerana jumlah sebenar tutup botol berkenaan 6,539,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta dari Subang, Nurul Atiqah Rahman, 37, membawa pulang smart TV dengan meneka jumlah 6,529, hanya kurang 10 daripada jumlah sebenar iaitu 6,539 penutup botol.

Menurut Nurul, dia dan suami masing-masing menghantar satu penyertaan. Suaminya meneka nombor pangkal 64 lebih manakala dia memilih 65 lebih dan ternyata jawapannya lebih hampir.
“Anak-anak ingat kami menang motor. Tapi bila tahu dapat TV, mereka tetap seronok. Terima kasih kepada Sinar Harian dan penaja, ini rezeki tak disangka,” ujarnya.
Sementara itu enam lagi pemenang membawa pulang hadiah berupa barangan elektrik dan tiket penerbangan dengan bermodalkan RM10 untuk pakej Kombo Premium dan langganan E-Paper Sinar Harian selama sebulan.

Antara penaja hadiah untuk pertandingan Teka Tutup Botol di reruai Sinar Harian pada karnival berkenaan termasuklah Acorn Marketing Communications, Archetype Malaysia, Besraya (M) Sdn Bhd, Koperasi Permodalan Felda, Bousted Hotel & Resorts Sdn Bhd, FGV Holdings Berhad, Amber Chinese Muslim Restaurant dan Batik Air.
Pertandingan Teka Tutup Botol merupakan antara acara paling mendapat sambutan sepanjang karnival berlangsung dengan ratusan penyertaan diterima setiap hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

