Ifra Mikayla dinobat Juara Himpunan Cilik Ala Saloma, P Ramlee

Ifra Mikayla dinobatkan Juara Himpunan Cilik Ala Saloma dan P Ramlee. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ifra Mikayla dinobatkan Juara Himpunan Cilik Ala Saloma dan P Ramlee. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Lenggok gaya dan aksi memukau seorang kanak-kanak perempuan persis Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma membolehkan dirinya dinobatkan sebagai juara Himpunan Cilik Ala Saloma dan P Ramlee bersempena Karnival Siang Malam Karangkraf pada Ahad.

Ifra Mikayla Nor Mohamad Zulhairi Ismail, 7, dari Kuala Lumpur menewaskan 39 finalis lain dalam pertandingan yang berlangsung di Dataran Karangkraf, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM200, hamper dan kotak istimewa daripada Pa & Ma.

Kanak-kanak perempuan terbabit memakai baju ala Saloma lengkap dengan kain yang boleh ditarik sehingga berubah seperti burung merak sedang mengembangkan ekornya.

Ibunya, Wirdayulis Karim, 37, berkata, anak perempuannya memang meminati acara seumpama itu dan mereka sekeluarga tidak pernah menghalang minatnya.

"Bagaimanapun, kami agak lambat hari ini kerana menyangkakan pertandingan bermula pada jam 2 petang dan tiba di Karangkraf ketika pertandingan hampir bermula.

"Jadi, saya menyiapkan Mikayla dalam keadaan agak kelam-kabut dalam kereta yang dipandu suami, Nor Mohamad Zulhairi Ismail, 44, yang sedang bergerak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Himpunan Cilik Ala Saloma dan P Ramlee ialah pertandingan yang diadakan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tiga hingga tujuh tahun bagi mencari peserta yang berani dan yakin untuk melakukan catwalk.

Ifra Mikayla (tengah) bergambar bersama peserta lain yang merangkul gelaran naib juara, tempat ketiga, tempat keempat dan tempat kelima pada Himpunan Cilik Ala Saloma dan P Ramlee sempena Karnival Siang Malam Karangkraf.Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ifra Mikayla (tengah) bergambar bersama peserta lain yang merangkul gelaran naib juara, tempat ketiga, tempat keempat dan tempat kelima pada Himpunan Cilik Ala Saloma dan P Ramlee sempena Karnival Siang Malam Karangkraf.Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Artikel Berkaitan:

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 beserta hamper; naib juara menerima RM150 dengan hamper; tempat ketiga pula RM100 dengan hamper; manakala wang tunai RM50 dan hamper masing-masing untuk pemenang tempat keempat dan kelima.

Menurut Wirdayulis, dia menyiapkan rambut dan solekan anak perempuannya dalam tempoh 30 minit sahaja untuk bergaya seperti seniwati lagenda tersebut.

Katanya, mereka hanya berserah kepada ALLAH SWT memandangkan terdapat ramai peserta lain turut mempamerkan gaya hebat masing-masing dan tersendiri.

"Alhamdulillah, ternyata rezeki berpihak kepada Mikayla yang mampu menunjukkan gaya berjalan dan berpakaian bak Saloma seperti yang ditetapkan penganjur serta memikat hati juri.

"Mikayla sudah biasa menyertai pertandingan seumpama ini, namun ada kalanya tidak menang. Kami faham kalah menang adat pertandingan, namun hari ini tuah menyebelahi dirinya," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!