Reda langsungkan akad nikah tertutup

Mohamad Fitri (kiri) bergambar bersama adiknya Nor Zuraini dan pasangannya Muhammad Sobri di rumah mereka di Kampung Lahar semalam
Mohamad Fitri (kiri) bergambar bersama adiknya Nor Zuraini dan pasangannya Muhammad Sobri di rumah mereka di Kampung Lahar semalam
A
A
A

JITRA - Sepasang pengantin di Kampung Lahar, Mukim Malau, di sini terpaksa melangsungkan akad nikah tanpa tetamu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam.

Majlis perkahwinan Nor Zuraini Ahmad, 30, dan pasangannya, Muhammad Sobri Saad, 40, yang dijadualkan hari ini juga ditunda kepada Jun depan bagi mematuhi arahan berkenaan.

Abang pengantin perempuan, Mohamad Fitri Ahmad, 48, berkata, mereka sekeluarga reda walaupun terkilan kerana persiapan majlis sudah siap sepenuhnya.

"Kami sekeluarga faham keselamatan dan kesihatan orang ramai lebih penting. Alhamdulillah, pihak katering dan pelamin juga memberi kerjasama yang baik apabila bersetuju menunda majlis ke suatu tarikh pada Jun nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Fitri bersyukur kerana majlis akad nikah yang berlangsung semalam berjalan lancar walaupun hanya dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.

"Ahli keluarga yang hadir pun tidak sampai 10 orang dan hantaran yang sepatutnya diserahkan pada majlis perkahwinan juga telah diserahkan semalam.

"Kami sekeluarga memohon maaf kepada semua ahli keluarga dan tetamu yang dijemput ke majlis perkahwinan adik hari ini.

"InsyaAllah jemputan akan dibuat semula untuk majlis pada Jun nanti," katanya.

Artikel Berkaitan: