Iran sedia serang Israel dengan peluru berpandu canggih jika diancam

TEHERAN – Iran menegaskan pihaknya bersedia menghadapi sebarang serangan baharu Israel dengan mengumumkan bahawa mereka kini memiliki peluru berpandu yang lebih canggih berbanding yang digunakan dalam perang 12 hari baru-baru ini.
“Malah, peluru berpandu yang digunakan dalam perang 12 hari lalu dihasilkan beberapa tahun dahulu.
“Hari ini, kami sudah menghasilkan dan memiliki peluru berpandu dengan kemampuan jauh lebih besar berbanding sebelum ini, dan jika musuh Zionis memulakan pengembaraan itu lagi, kami tidak akan teragak-agak menggunakannya,” kata Menteri Pertahanan, Aziz Nassirzadeh seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.
Pertengahan Jun lalu, Israel melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran yang mencetuskan perang, sebelum Teheran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron.
Serangan Israel itu mengorbankan komander tentera kanan, saintis nuklear serta ratusan yang lain, selain menyasarkan tapak ketenteraan dan kawasan kediaman.
Amerika Syarikat (AS) turut terbabit seketika dalam peperangan tersebut dengan melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Gencatan senjata antara Iran dan Israel mula berkuat kuasa pada 24 Jun lalu, namun pegawai Teheran memberi amaran konflik boleh meletus semula pada bila-bila masa walaupun mereka menegaskan tidak mencari peperangan.
Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref pada Isnin berkata, negara itu perlu “sentiasa bersiap sedia untuk konfrontasi setiap masa”.
“Kita sebenarnya bukan dalam gencatan senjata, sebaliknya hanya penghentian permusuhan,” ujarnya.
Media Iran melaporkan angkatan tentera negara itu akan memulakan latihan ketenteraan selama dua hari bermula Khamis ini, melibatkan pelbagai peluru berpandu jarak dekat dan sederhana.
Negara Barat berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai program peluru berpandu Iran yang dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan serantau.
Bulan lalu, Perancis menggesa perjanjian menyeluruh dengan Teheran yang merangkumi bukan sahaja program nuklear tetapi juga peluru berpandu serta pengaruh serantau Iran.
Namun, Teheran tetap bertegas bahawa kemampuan ketenteraan mereka bukan untuk dirundingkan. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
