Mangsa serangan udara Israel ditemui masih hidup bawah runtuhan

Keadaan Saja Hamad ketika ditemui. Foto Agensi
Keadaan Saja Hamad ketika ditemui. Foto Agensi
A
A
A

GAZA – Seorang wanita Palestin, Saja Hamad, 23, berjaya diselamatkan selepas terperangkap di bawah runtuhan rumahnya akibat serangan udara Israel di kawasan Nuseirat, Gaza Tengah, pada 20 Ogos lalu.

Video yang diperoleh agensi berita Reuters memaparkan detik pilu apabila Saja tersepit dan menahan kesakitan, sementara pasukan penyelamat berusaha menggali runtuhan tersebut.

Beliau kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Kejadian itu berlaku selepas rumahnya musnah dalam serangan mendadak oleh tentera Israel.

Walaupun lokasi rakaman tidak dapat disahkan sepenuhnya, klip asal video berkenaan mengesahkan tarikh sebenar kejadian.

Serangan Israel di wilayah Gaza telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang parah sejak Oktober 2023, dengan ribuan bangunan musnah dan kawasan perumahan hancur.

Sehingga kini, hampir 10,000 rakyat Palestin dilaporkan hilang, dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Krisis ini berlarutan tanpa penyelesaian, manakala usaha menyelamat dan pencarian semakin mencabar disebabkan kawalan keselamatan serta kesukaran akses ke lokasi.

Saja Hamad antara segelintir yang bernasib baik kerana ditemui masih hidup selepas berjam-jam terperangkap dalam debu dan serpihan bangunan.

Artikel Berkaitan:

Penemuan itu memberi sedikit harapan kepada masyarakat Palestin yang semakin tertekan akibat konflik yang telah meragut ribuan nyawa serta memusnahkan kehidupan banyak keluarga. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!