Tiada syarikat tarik diri melabur di Negeri Sembilan - Aminuddin

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung syarikat pelaburan yang menarik diri atau menghentikan operasi di negeri ini susulan pengumuman tarif baharu oleh Amerika Syarikat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima maklumat sedemikian, sebaliknya trend kemasukan pelabur baharu ke Negeri Sembilan terus menunjukkan peningkatan.
“Saya belum menerima laporan berkaitan syarikat yang keluar atau menghentikan pelaburan. Sebaliknya, kita lihat ada syarikat baharu yang masuk.
"Kesan daripada tarif AS itu juga belum berkuat kuasa, dan saya berpandangan tarif yang diumumkan baru-baru ini tidak keterlaluan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Negeri pada Rabu.
Beliau berkata, Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa.
“Malaysia, termasuk Negeri Sembilan, kekal sebagai destinasi yang kompetitif untuk pelaburan.
"Ini terbukti apabila bilangan pelabur semakin bertambah. Kita yakin sasaran pelaburan sebanyak RM10 bilion bagi tahun ini di Negeri Sembilan mampu dicapai,” ujarnya.
Tambah beliau, beberapa pelabur baharu dijangka memulakan operasi di Negeri Sembilan dalam suku tahun ini, termasuk syarikat semikonduktor dari China serta syarikat Gobuilders Netsoft bagi merealisasikan pembinaan dan pengoperasian sebuah fasiliti Penyimpanan Sejuk Beku Halal Bersepadu.
"Pada Oktober ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN, satu lagi projek industri berskala besar turut akan diumumkan tidak lama lagi. Ia akan menjadi sektor perindustrian baharu di lokasi yang strategik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


