Gangguan bekalan air di Petaling pulih 80 peratus

Gangguan bekalan air di kawasan Petaling mencapai tahap pemulihan sebanyak 80 peratus setakat jam 7 pagi ini.
Gangguan bekalan air di kawasan Petaling mencapai tahap pemulihan sebanyak 80 peratus setakat jam 7 pagi ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gangguan bekalan air di kawasan Petaling mencapai tahap pemulihan sebanyak 80 peratus setakat jam 7 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, dua kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya ialah Saujana Damansara dan Damansara Damai.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari hari ini.

"Segala usaha sedang dilaksanakan bagi menstabilkan sistem agihan bekalan air dan memastikan pelanggan mendapat bekalan air terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Air Selangor memohon kerjasama pelanggan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan ini berjalan lancar bagi kawasan yang masih terjejas," katanya.

Beliau berkata, sementara bekalan air pulih sepenuhnya, bantuan kecemasan lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Katanya, pihaknya akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Pelanggan yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan ini boleh terus merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan beberapa kawasan di Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan penurunan paras Kolam Air Kota Damansara dan Kolam Effingham, susulan permintaan bekalan air tinggi di kawasan itu.

Gangguan itu melibatkan 30,574 akaun pengguna dengan jangkaan pemulihan sepenuhnya bekalan air hari ini.

Antara kawasan terjejas ialah Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3, Damansara Damai PJU 10, Kampung Baru Sg Buloh, Kampung Desa Aman, Kampung Paya Jaras, Merbau Sempak, Penjara Sungai Buloh, Saujana Damansara, Seksyen 20, 21 dan 22 serta SB Jaya.