47 pelancong Israel terkandas, pasport dibuang pekerja hotel

SARAJEVO – Seramai 47 pelancong Israel dilaporkan terkandas di Bosnia selepas pasport mereka didakwa dibuang oleh kakitangan sebuah hotel, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke negara asal.
Kumpulan itu yang sepatutnya berlepas pulang ke Israel pada Sabtu lalu, mendapati pasport mereka dipercayai dibuang secara tidak sengaja ke dalam tong sampah di kaunter penerimaan tetamu hotel.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mengesahkan dokumen berkenaan dimasukkan ke dalam tong sampah sebelum dikutip pekerja pembersihan dan dibawa ke tapak pelupusan.
“Kami terpaksa tinggal di hotel ini untuk tempoh 48 jam lagi, mungkin lebih lama.
“Kami bimbang boleh terkandas di sini lebih daripada seminggu," kata beberapa pelancong berkenaan kepada portal Ynet pada Isnin.

Pihak berkuasa tempatan menyifatkan insiden itu sebagai kemalangan, namun sebahagian pelancong menyuarakan keraguan bahawa ia bukan sekadar kesilapan biasa.
“Ini sangat pelik. Bagaimana seseorang boleh membuang pasport begitu sahaja? Kami mengesyaki pasport itu dibuang kerana mempunyai lambang Israel. Kami menuntut penjelasan yang jelas,” kata seorang pelancong.
Hotel berkenaan setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Kementerian Luar Israel mengesahkan insiden itu dan memaklumkan ia sedang ditangani oleh Jabatan Warga Israel Bermasalah di Luar Negara bersama kedutaan negara itu di Belgrade untuk mengeluarkan dokumen perjalanan gantian.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

