Penghantar kurier tak mengaku samun nenek

BUTTERWORTH - Seorang penghantar kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merompak seorang nenek dan meragut rantai emas dalam kejadian pada 14 Ogos lalu.
Tertuduh, Muhd Syahrul Syazlan Jailani, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik Salmiah Haroon, 71, iaitu seutas rantai emas yang terputus separuh serta wang tunai berjumlah RM31.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Bagan Lalang, Ladang Desa Tok Sani di sini jam 8.45 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed mencadangkan jaminan RM10,000.
Bagaimanapun, Muhd Syahrul Syazlan ketika rayuan memohon mahkamah memberikan jaminan minimum dengan alasan isterinya baru selesai menjalani rawatan kimoterapi manakala ibunya pula mengalami masalah kesihatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 23 September depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang penghantar kurier direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes ragut melibatkan seorang wanita warga emas di Bagan Lalang di sini.
Ketika kejadian mangsa yang berusia 71 tahun sedang menyiram pokok bunga di hadapan rumah sebelum dihampiri suspek yang menaiki kereta jenis Proton Iriz, kononnya untuk menghantar bungkusan secara bayaran tunai (COD).
Mangsa kemudian masuk ke rumah untuk mengambil wang RM31 untuk diserahkan kepada suspek namun lelaki itu kemudian dikatakan bertindak menggenggam tudung mangsa di bahagian leher sebelum meragut rantai emas mangsa.
Berikutan itu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek hingga menyebabkan rantai itu terputus tiga bahagian sebelum suspek sempat melarikan diri bersama satu bahagian rantai dan wang COD terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
