Tikam 'skandal' isteri: Tukang masak didakwa bunuh duda

Zulazren (dua dari kanan) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
Zulazren (dua dari kanan) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menikam dada seorang duda dengan menyebabkan kematiannya pada 11 Ogos lalu.

Tertuduh, Zulazren Zakariah, 31, yang bekerja sebagai tukang masak hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencapai niat dalam menikam dada dan menyebabkan kematian Muhammad Amirul Rashid Mohd Niza yang berusia 28 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 11 Ogos 2025, jam lebih kurang 6.50 petang di sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang di Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nor Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon tarikh untuk laporan kimia, asid deoksiribonukleik(DNA) dan bedah siasat serta tiada jaminan ditawarkan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 17 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki yang juga duda maut akibat ditikam pada bahagian dada dalam kejadian di hadapan rumah keluarganya di Taman Seri Pagi pada 11 Ogos lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sekitar jam 7.28 malam.

Siasatan awal mendapati, insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 31 tahun dengan mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pula dilaporkan berkata, suspek menikam mangsa dipercayai kerana berang selepas mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki terbabit.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!