Lelaki maut ditikam depan rumah

SEREMBAN - Seorang lelaki maut akibat ditikam pada bahagian dada dalam kejadian di hadapan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi di sini pada Isnin.
Mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi sekitar jam 7.28 malam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada jam 6.50 petang pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki telah ditikam.
“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 31 tahun dengan mangsa.

"Suspek dikatakan telah menikam dada mangsa menggunakan pisau sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar yang datang ke lokasi mengesahkan kematian mangsa pada jam 7.28 petang.
Tambahnya, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam, manakala sebilah pisau yang digunakan turut dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 18 Ogos ini.
"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk berusia 66 tahun yang enggan dikenali memberitahu kejadian itu disedarinya selepas terdengar jeritan bapa mangsa.
Katanya, dia bergegas keluar untuk melihat kejadian berlaku dan melihat bahagian dada anak sulung jirannya itu berlumuran darah.
"Masa itu jiran-jiran dah ramai keluar untuk melihat kejadian berlaku dan darah mengalir dari dada mangsa macam air paip.
"Suspek telah berjaya ditahan dan saya bersama penduduk membantu mengikat suspek dengan tali supaya dia tidak melarikan diri," katanya.
Bagaimanapun dia tidak pasti punca kejadian berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

