Reman suspek tikam 'skandal' isteri disambung tiga hari

Laporan Sinar Harian berhubung kes lelaki maut ditikam depan rumah. Foto kecil: Mohamad Hatta
Laporan Sinar Harian berhubung kes lelaki maut ditikam depan rumah. Foto kecil: Mohamad Hatta
A
A
A

SEREMBAN – Tempoh reman seorang lelaki yang didakwa menikam seorang duda hingga mati di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Pagi, Senawang disambung tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, reman terhadap suspek berusia 31 tahun itu disambung bermula Isnin hingga 21 Ogos ini.

“Suspek sebelum ini direman tujuh hari bermula 12 Ogos hingga hari ini.

“Namun, kita telah membuat permohonan sambung reman di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi bagi membolehkan siasatan diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan, kes itu akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya supaya dapat segera dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut akibat ditikam pada bahagian dada dalam kejadian di hadapan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi pada 11 Ogos lalu.

Mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 7.28 malam.

Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pula dilaporkan berkata suspek menikam mangsa dipercayai kerana berang selepas mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki terbabit.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!