Australia sekat kemasukan ahli politik Israel sokong pemindahan paksa rakyat Palestin

Australia membatalkan visa ahli politik Israel berhaluan kanan, Simcha Rothman, kerana menyokong pemindahan paksa rakyat Palestin. Foto 123RF
Australia membatalkan visa ahli politik Israel berhaluan kanan, Simcha Rothman, kerana menyokong pemindahan paksa rakyat Palestin. Foto 123RF
A
A
A

ANKARA - Kerajaan Australia membatalkan visa seorang ahli politik Israel berhaluan kanan, Simcha Rothman yang menyokong rancangan untuk pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza dan menggelar kanak-kanak Palestin sebagai 'musuh' Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik ABC News pada Isnin.

Rothman, yang merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu merupakan pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan, Undang-undang dan Kehakiman.

Menteri Dalam Negeri, Tony Burke membatalkan visanya, sekali gus menghalang Rothman daripada memasuki negara itu selama tiga tahun.

Rothman, seorang anggota Knesset daripada parti Religious Zionism dijadual berucap dalam majlis anjuran Persatuan Yahudi Australia di Sydney pada Khamis depan.

"Kerajaan kami mengambil pendirian tegas terhadap individu yang cuba datang ke negara ini untuk menyebarkan perpecahan," kata Burke dalam satu kenyataan.

"Jika anda datang ke Australia untuk menyebarkan mesej kebencian dan perpecahan, kami tidak mahu anda di sini. Di bawah kerajaan kami, Australia akan menjadi sebuah negara di mana semua orang boleh hidup dengan selamat dan berasa selamat,” tambahnya.

Australia dijangka mengiktiraf Negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bulan depan. - Bernama-Anadolu

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!