Harimau Malaya uji taktikal lawan Singapura, Palestin

SKUAD Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski bakal berdepan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura dan Palestin pada September depan sebagai persediaan menghadapi baki saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Aksi menentang Singapura akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 4 September diikuti menentang Palestin lima hari kemudian di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
“Jadual perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 telah ditetapkan. Pasukan kebangsaan kita akan beraksi dalam dua perlawanan bertaraf tinggi di dua venue berbeza, sebagai persiapan penting menjelang kejohanan akan datang. Jumpa anda di sana,” kata Malaysia NT di laman sosialnya pada Isnin.
Dua pertemuan ini dijangka menjadi medan terbaik buat Cklamovski menguji taktikal, menilai tahap keserasian pemain serta mengukur kekuatan sebenar skuad kebangsaan sebelum kembali ke pentas kelayakan bulan depan.
Malaysia kini berada di puncak Kumpulan F selepas mencatat kemenangan bergaya ke atas Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0) dijadual bertandang ke Laos pada 9 Oktober bagi meneruskan misi mengekalkan rekod cemerlang.
PERLAWANAN PERSAHABATAN
4 SEPTEMBER (KHAMIS)
MALAYSIA LWN SINGAPURA
(Stdm Nasional Bukit Jalil, 9 malam)
8 SEPTEMBER (ISNIN)
MALAYSIA LWN PALESTIN
(Stdm Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 9 malam)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
