Polis serbu stor dadah, 46kg ganja dirampas

Azizee
Azizee
A
A
A

GEORGE TOWN – Polis merampas 46 kilogram ganja bernilai kira-kira RM142,600 selepas menyerbu beberapa lokasi dijadikan stor penyimpanan dadah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam operasi bermula jam 10 malam pada 15 Ogos lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 56 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan dadah berkenaan di dua kediaman dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

“Polis merampas 30 ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 29,948 gram dan 16 ketulan lagi seberat 16,179 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, risikan mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Februari lalu dan jumlah rampasan dianggarkan boleh digunakan 92,000 penagih.

"Ujian air kencing terhadap suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis THC, manakala seorang lagi positif methamphetamine.

"Dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Semua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Selain dadah, Azizee berkata, polis turut menyita dua kenderaan bernilai RM47,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 iaitu sebuah Perodua Bezza (RM32,000) dan sebuah Honda Accord (RM15,000).

"Secara keseluruhannya, nilai rampasan termasuk dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM189,600.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!