Dua anak doktor akan dituduh di mahkamah hari ini

KOTA BHARU - Dua beradik, anak kepada seorang doktor di Ketereh, yang ditahan berkait rampasan 35 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja mampat dan sepucuk pistol akan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Isnin.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 34 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek berusia 23 tahun turut akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada jam 8.45 pagi dengan menaiki kenderaan Black Maria dan dikawal ketat oleh polis.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan tiga beranak iaitu isteri seorang doktor serta dua anak lelakinya selepas penemuan 35 kg dadah dipercayai ganja dan sepucuk pistol di sebuah rumah banglo di Ketereh.
Mereka ditahan pada jam 4.30 pagi, dan difahamkan wanita berusia 46 tahun itu mengetahui kegiatan yang dilakukan oleh anak kandung serta anak tirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

