Jumpa jodoh sewaktu bawa ibu ke klinik, beza 18 tahun bukan penghalang

SHAH ALAM - Siapa sangka kunjungan seorang anak membawa ibunya ke klinik menjadi detik pertemuan yang akhirnya menyatukan hati dua insan berbeza usia 18 tahun.
Usahawan tudung, Mohd Shahril Tuah, 38, dan isterinya, Dr Zahida Mohamad Zahudi, 56, mula dikenali ramai selepas video mereka di TikTok meraih lebih 4.6 juta tontonan dan 90,100 tanda suka.
Mohd Shahril yang mesra disapa dengan panggilan Aril berkata, dia ketika itu membawa ibunya bagi mendapatkan rawatan di klinik Dr Zahida di Kajang.

“Waktu itulah saya pertama kali nampak Dr Zahida. Dia seorang yang tenang dan caranya bercakap dan menerangkan sesuatu pun sangat tersusun. Rasa selesa dengan penerangan dia.
"Selepas itu, Dr Zahida beri penerangan kepada ibu saya. Selepas itu, saya selalu bawa keluarga ke sini dan saya sendiri juga mendapatkan rawatan di klinik itu,” katanya.
Menurut Aril, mereka kemudiannya berkawan selama tiga tahun dan mula rapat selepas suami Dr Zahida meninggal dunia, manakala dia pula telah putus tunang.
Beliau memberitahu, pada awal perkenalan, ada sebilangan individu yang memandang serong hubungan tersebut kerana perbezaan umur dan isterinya berharta.
"Ramai ingat saya hendak pergunakan Dr Zahida dan begitu juga sebaliknya ketika kami berkawan itu, namun perkara itu tidak mematahkan semangat kami.
"Kadang-kala, rasa agak kecewa sebab orang yang kita kenal kata sebegitu, lalu kami ambil keputusan elakkan orang yang beri ‘negative vibe’ supaya tidak merosakkan hubungan," ujarnya lagi.
Aril memaklumkan, selepas berkahwin pandangan negatif semakin berkurangan dan mereka menjalani kehidupan rumah tangga dengan saling menyokong dalam setiap keputusan.
"Apabila video kami tular, kebanyakan orang ingat kami berdua baharu kahwin, sedangkan kami sudah berkahwin selama 11 tahun, cumanya baru dikenali di Tik Tok," menurutnya.
Katanya, mereka tidak menyangka perkongsian video tentang perbezaan umur mereka tular di TikTok, malah menyifatkan ia sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada mereka.

Menurutnya, video-video mereka yang viral tersebut bukan hanya membuatkan tudung jenama Aril Tuah Scarves makin dikenali, malah ramai memberi sokongan terhadap perniagaan diusahakan dan dikunjungi mereka.
Sementara itu, Dr Zahida memaklumkan, mereka berdua turut bersyukur kerana menerima sokongan penuh daripada kedua-dua pihak keluarga.
Menurut beliau, perbezaan minat dan usia tidak menjadi halangan kerana mereka sentiasa melibatkan pasangan dalam aktiviti masing-masing termasuklah aktiviti menunggang motosikal.
Bagi Dr Zahida, kunci hubungan bahagia adalah bertolak ansur, berbincang dari hati ke hati dan tidak membiarkan ego merosakkan perhubungan walaupun memiliki jarak usia jauh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

