Pegawai, anggota terlibat rasuah cemarkan imej PDRM - Ayob Khan

KUALA LUMPUR - Perbuatan segelintir pegawai dan anggota yang terlibat rasuah mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pangkat.
"Tidak dinafikan ada polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pun ada.
"Jika terlibat, kita ambil tindakan. Majoriti polis buat kerja bagus berkhidmat untuk masyarakat dan segelintir kecil terlibat rasuah, ini yang perlu ditangani secara tuntas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada Jumaat.
Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari dan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr Radzuan Ibrahim.
Mengulas lanjut, kata Ayob Khan, ramai pegawai dan anggota telah diambil tindakan semasa beliau Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
"Kalau ada pegawai terlibat saya ambil tindakan. Banyak pegawai, anggota yang diambil tindakan tuduh di mahkamah dan dibuang kerja.
"Di Johor semasa saya Ketua Polis Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Di JSJN ada pegawai berpangkat Superintenden, Asisten Superintenden dan Inspektor dikenakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kes sebegini usah disorokkan kerana itu akan menjadi barah.
"Itu jadi punca mengapa isu rasuah tidak habis dan semakin memabarah. Kalau sy kesan, 'option' pertama saya serahkan kepada SPRM jika kes besar, kedua buka kertas siasatan dan ketiga buka tatatertib," ujarnya.
Semasa berucap di majlis terbabit, Ayob Khan berkata, walaupun terdapat segelintir pihak yang cuba membawa naratif bahawa sukar untuk membanteras isu rasuah dalam PDRM, tetapi beliau akan tetap teguh dengan prinsip dan komitmen untuk terus menangani budaya tercela ini.
"Semua pihak yang memegang amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin, khususnya kepimpinan politik, ketua jabatan Kerajaan, penjawat awam dan swasta serta segenap lapisan masyarakat wajib memainkan peranan masing-masing.
"Era bereforik telah berlalu. Masyarakat menilai setiap tindakan, gaya hidup serta kemewahan kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
