Sasar gelombang lebih besar

Hussamuddin (barisan belakang, tujuh dari kiri) dan rakan sinergi yang bersama-sama mengangkat misi Malaysia #QuranHour 2025.
Hussamuddin (barisan belakang, tujuh dari kiri) dan rakan sinergi yang bersama-sama mengangkat misi Malaysia #QuranHour 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen #QuranHour yang mendorong umat Islam membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran sejak 2015 kini mencatatkan capaian media sosial mencecah 8.18 bilion, dengan 458.5 juta capaian direkodkan tahun ini sahaja.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pencapaian itu hasil gerakan berterusan yang kini berkembang daripada Malaysia #QuranHour ke peringkat antarabangsa melalui World #QuranHour.

Hussamuddin.
Hussamuddin.

Menurutnya, kempen tersebut bermula sebagai usaha mengajak umat Islam membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran secara konsisten, berakar daripada program Rumah Ngaji sebelum diperluas kepada program berskala besar berilhamkan konsep Earth Hour.

“Jika Earth Hour mengajak orang tutup lampu sejam, kita pula mahu semua buka mata, buka hati, buka minda dan berinteraksi dengan al-Quran.

“Malaysia #QuranHour ialah kempen solidariti iaitu pada waktu yang ditetapkan, seluruh umat Islam berhenti seketika daripada kerja dan bersama-sama membaca atau sekadar berinteraksi dengan al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya cabaran sepanjang tempoh tersebut, Hussamuddin yang juga Penasihat Karangkraf mengakui bukan mudah untuk meneruskan usaha mengajak orang ramai mengamalkan al-Quran, namun bersyukur apabila ribuan Rumah Ngaji kini wujud di seluruh negara, dengan lebih 1,000 Rumah Ngaji yang aktif.

Jelas beliau, lebih membanggakan apabila komuniti Rumah Ngaji telah melahirkan ramai peserta yang bukan sahaja khatam al-Quran tetapi juga menjadi tenaga pengajar.

“Rumah Ngaji ialah sel interaksi masyarakat setempat. Mereka belajar, memahami al-Quran dan hubungan sesama mereka menjadi lebih erat.

“Saya bersyukur kerana gerakan ini telah mewujudkan gelombang lebih besar sehingga Malaysia #QuranHour, World #QuranHour dan akhirnya membawa kepada pengenalan My #QuranTime iaitu sesi interaksi selama satu jam setiap hari bagi menggalakkan rutin berterusan,” katanya.

Hussamuddin turut berharap generasi muda mengambil alih kesinambungan kempen tersebut dan memperbesarkannya dengan penggunaan teknologi terkini, kecerdasan buatan (AI) serta kempen media sosial yang lebih kreatif.

Merdeka Dengan Rasa

Ditanya mengenai Malaysia #QuranHour, Hussamuddin berkata, program itu diadakan setiap tahun, dengan waktu kemuncak serentak di seluruh negara bersempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Pada tahun ini, edisi Malaysia #QuranHour 2025 anjuran WUIF itu bakal kembali untuk tahun ke-11 penganjurannya pada 30 Ogos ini, sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68, dengan tema istimewa ‘Merdeka Dengan Rasa’.

“Masjid Negara, Kuala Lumpur akan menjadi lokasi perdana dan majlis sama akan berlangsung serentak di seluruh negara.

Hussamuddin mengharapkan Malaysia #QuranHour 2025 cetuskan gelombang lebih besar.
Hussamuddin mengharapkan Malaysia #QuranHour 2025 cetuskan gelombang lebih besar.

“Kita harap pada hari itu nanti, umat Islam di negara ini ambil peluang berhenti sejenak untuk bersama-sama menyertai program ini.

“Kita nak ambil momentum Hari Merdeka. Kalau malam merdeka orang tengok persembahan bunga api, apa salahnya mereka luangkan masa sejam sahaja untuk bersama-sama meluangkan masa membaca dan bertadabur al-Quran,” ujar beliau.

RTM akan bertindak sebagai penyiar utama Malaysia #QuranHour 2025 bersama rakan media seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

Program itu dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Sekretariat Merdeka, Masjid Negara, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Rumah Ngaji dan Sahabah al-Quran di dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Hussamuddin mengharapkan agar Malaysia #Quran Hour 2025 akan dapat mewujudkan gelombang lebih besar, seterusnya menarik penglibatan lebih ramai peserta.

Jelas beliau, Malaysia #Quran Hour merupakan kempen momentum tetapi objektif sebenar yang ingin dicapai ialah sekurang-kurangnya satu jam pada hari tersebut, orang ramai berinteraksi dengan al-Quran, seterusnya menjadikan ia sebagai amalan.

“Kita mahu setiap umat Islam bukan sekadar membaca tetapi memahami dan mengamalkan al-Quran. Bila akhlak dan cara fikir berubah, kepincangan masyarakat boleh diperbetulkan.

“Jika mereka jadi pemimpin, mereka akan adil. Jika jadi pegawai, mereka tidak akan rasuah atau salah guna kuasa. Jika jadi guru, mereka akan ikhlas mengajar.

“Perkara ini boleh dicapai jika semua orang faham agama mereka. Begitu juga kalau orang bukan Islam, dia faham dan amalkan agama mereka. Itu yang kita mahukan, the spirit behind,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!