Tahan nafsu buat benda bodoh, rugikan rakyat

KIRA-kira 16 tahun lalu, berlaku pergaduhan antara dua ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan 13 ahli daripada Pemuda UMNO Selangor di bangunan Parlimen.
Ia berlaku apabila Pengerusi Kebangsaan DAP pada ketika itu, Karpal Singh mengeluarkan perkataan ‘Pemuda UMNO celaka’ di Dewan Rakyat.
Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu kecoh apabila Ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.
Bagaimanapun, kekecohan tersebut berjaya disekat anggota polis dan pasukan keselamatan Parlimen, manakala Karpal segera dibawa masuk ke menara Parlimen. Namun, keadaan panas semula apabila Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo keluar dari bangunan Parlimen dan mencabar Pemuda UMNO berdepan dengannya.
Karpal telah menarik balik perkataan ‘celaka’ yang ditujukan kepada Pemuda UMNO semasa perbahasan di Dewan Rakyat setelah diarah oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Namun, pada Rabu lalu, satu insiden hampir-hampir tercetus di dalam dewan apabila berlaku kekecohan antara ahli Parlimen pembangkang dengan kerajaan. Ia berlaku apabila Ahli Parlimen Pendang daripada Pas, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) didakwa mencabar Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP, RSN Rayer untuk bertumbuk di luar Parlimen.
Kejadian itu sedang disiasat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan keputusan mengenai perkara tersebut akan dibuat pada Isnin ini.
Dalam pada itu, insiden serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli juga menggemparkan negara. Setakat ini beliau yakin ia merupakan perbuatan pihak tertentu yang tidak mahu skandal mereka terdedah.
Jadi untuk Malaysia, memang ia sedikit janggal kerana selepas peristiwa 13 Mei 1969, situasi politik di negara ini lebih tenang dan stabil terutama ketika Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai kerajaan dan ‘menjinakkan’ pembangkang.
Kalau kita ambil iktibar dari negara-negara luar, banyak kerajaan yang tidak stabil dan lemah biasanya berada dalam kategori negara gagal iaitu failed state atau negara rapuh fragile state.
Berdasarkan penilaian seperti Fragile States Index (FSI) dan laporan antarabangsa lain, contoh negara yang pernah atau sedang berada dalam keadaan tersebut termasuk di Somalia yang menderita puluhan tahun tanpa kerajaan pusat yang kuat, dikuasai puak dan lanun walaupun kini ada usaha membina semula negara itu.
Selain itu, Sudan Selatan iaitu sebuah negara muda tetapi bergelut dengan perang saudara, pembunuhan etnik dan ekonomi lumpuh. Di Afghanistan pula, ia dikuasai oleh Taliban yang menguasai negara dengan undang-undang formal lemah dan keselamatan bergantung pada kuasa kumpulan bersenjata.
Sementara di Haiti pula, krisis politik terus berlarutan dengan kumpulan bersenjata menguasai ibu kota dan undang-undang hampir lumpuh. Di Yaman, berlaku perang saudara, campur tangan kuasa luar, dengan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Republik Afrika Tengah juga mempunyai kerajaan yang lemah, dengan tentera asing dan militia mengawal banyak wilayah.
Selepas kejatuhan pemimpin utama Libya iaitu Muammar Gaddafi, berlaku perebutan kuasa antara kerajaan-kerajaan saingan dan militia.
Ramai yang berpendapat, Malaysia tidak seharusnya menjadi sebegitu rendah berbanding dengan negara-negara yang telah disebutkan.
Apatah lagi, kita sekarang sedang menjalankan tugas sebagai Pengerusi ASEAN dan baru sahaja berjaya menyelesaikan konflik antara Thailand serta Kemboja.
Ketika nama negara yang harum dan mewangi di pentas antarabangsa, mungkin pihak-pihak tertentu boleh menahan nafsu mereka daripada membuat sesuatu hal yang bodoh dan merugikan rakyat serta negara.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
