UM Damansara masih muda, ambil pengalaman di laman JDT
UM Damansara mahu manfaatkan aksi menentang JDT

KELAB Liga A1, UM Damansara United sedar cabaran getir menanti apabila bertemu juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan pertama Pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu.
Pengendali pasukan, Ridzuan Abu Shah berkata, perbezaan kualiti terlalu jauh membuatkan peluang untuk mencipta kejutan hampir mustahil, namun skuad Semi-Pro itu berjanji akan beraksi dengan sehabis baik.
“Kami mahu cuba elak dibolosi dengan banyak gol. Rata-rata pemain masih muda, jadi fokus utama adalah pamerkan permainan terbaik sebagai pasukan Semi-Pro,” katanya kepada Sukan Sinar.
JDT dalam aksi Liga Super sebelum ini membolosi gawang Negeri Sembilan FC lima kali tetapi turut melepaskan tiga gol, namun, Ridzuan menegaskan itu bukan tiket mudah untuk UM Damansara mencuri kemenangan di laman keramat Harimau Selatan.
“Kami sudah buat post-mortem selepas tewas tipis 0-1 kepada JDT II baru-baru ini. Kalau kami tidak beri ruang yang banyak kepada pemain JDT, mungkin dapat kurangkan defisit gol,” katanya sambil mendedahkan penyerang utama, Thank God Mitchell, belum pasti diturunkan kerana faktor kecergasan.
Ridzuan yang pernah membimbing Malaysian University Football Team (MUFT) menentang JDT di suku akhir Piala FA musim lalu juga mahu anak buahnya memanfaatkan peluang berdepan kelab gergasi Liga Super itu sepenuhnya sebagai medan pendedahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
